Tayar Pecah Semasa Memandu; 8 Punca Dan Cara Hadapinya

Tahukah anda tayar kenderaan yang tidak diperiksa dengan baik akan berisiko untuk mengalami pecah tayar atau pancit semasa dalam pemanduan.

Ini akan menyebabkan kenderaan menjadi tidak stabil dan hilang kawalan secara tiba-tiba.

Namun apakah punca sebenar terjadinya situasi ini? Bagaimana pula tindakbalas yang perlu dilakukan apabila tayar pecah semasa memandu?

Mungkin jawapan di bawah ini boleh membantu anda.

8 Punca Tayar Pecah Semasa Pemanduan:


1) Dikatakan 3/4 daripada kejadian tayar pecah adalah disebabkan oleh kurang tekanan angin dalam tayar. Tayar yang kurang angin akan mengalami lenturan berlebihan dan menjadi terlalu panas. Jika ingin memandu untuk perjalanan panjang, terutama di lebuh raya, adalah penting untuk anda melakukan pemeriksaan visual tayar anda sebelum memulakan perjalanan anda dan selepas setiap hentian rehat.

2) Tayar lama yang berusia lebih dari 5 tahun atau 40,000 kilometer (25,000 batu) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk pecah.

3) Memandu dengan kelajuan tinggi untuk jangka masa yang panjang di lebuh raya menyebabkan tayar dan udara dalamnya menjadi panas dan berkembang. Adalah baik jika pemandu berhenti berehat sebentar selepas beberapa jam memandu untuk membolehkan tayar dan juga brek menjadi sejuk. Ia juga akan memberikan peluang kepada pemandu untuk menyegarkan diri dan memeriksa kereta serta tayar sebelum meneruskan perjalanan.

4) Kerosakan tayar, tirisan dan 'gelembung' juga boleh menyebabkan tayar pecah. Melanggar sisi jalan, pembahagi jalan serta lopak akan merosakkan bahagian sisi tayar. Kerosakan kilang juga boleh menjadi punca peruabahan bentuk tayar dan wujudnya 'gelembung'.Periksalah tayar anda dari semasa ke semasa dan cari sebarang kecacatan tersebut jika ada.

5) Beban kenderaan dan muatan juga boleh menyebabkan kejadian tayar pecah. Pastikan indeks tayar yang tertulis di tepi tayar dan muatan berat kenderaan tidak melebihi dari had yang ditetapkan. Berat muatan tayar bermula dari bacaan indeks 62 untuk 265 kg muatan kepada indeks 126 untuk 1700 kg muatan.

6) Memandu pada kelajuan tinggi juga boleh menyebabkan tayar pecah. Perhatikan rating kelajuan tayar yang disyorkan oleh pengeluar kereta anda.

Ini adalah penilaian kelajuan tayar dan (kelajuan maksimum dalam kilometer sejam) tayar:


  • N (140 km/j)
  • P (150 km/j)
  • Q (160 km/j)
  • R (170 km/j)
  • S (180 km/j)
  • T (190 km/j)
  • U (200 km/j)
  • H (210 km/j)
  • V (240 km/j)
  • Z (240+ km/j)
  • W (270 km/j)
  • Y (300 km/j)


7) Tayar yang botak juga boleh menjadi punca tayar pecah. Undang-undang menetapkan had bagi kedalaman bunga tayar adalah 1.6 mm dan bunganya tidak kurang dari 75% daripada lebar tayar. Kadang-kadang, tayar boleh menjadi haus dengan tidak sekata. Walaupun bunga di sisi luar masih kelihatan baik, tapi ada kemungkinan bunga di sisi dalam telah haus. Sila periksa dengan teliti.

8) Kerja menampung tayar yang kurang bermutu juga boleh menyumbang kepada tayar pecah. Kaedah menampung tayar kereta jenis "Mushroom and plug" adalah yang paling disyorkan.
Mushroom and plug.


Bagaimana untuk mengawal kereta jika tayar pecah semasa memandu?


1) Jangan terus menghentam pedal brek. Kebanyakan orang akan cenderung untuk menekan brek sepenuhnya (brek kecemasan) dalam keadaan kecemasan. Brek kecemasan adalah perkara yang paling teruk anda boleh lakukan dalam kejadian tayar pecah kerana ini akan menggangu arah kenderaan dan menjadikannya berada di luar kawalan.

Anda boleh menggunakan 'brek enjin' dengan menurunkan gear kepada yang lebih rendah. Tekan brek kaki secara ringan apabila kenderaan anda telah perlahan.

2) Jangan mengangkat kaki dari pedal minyak secara tiba-tiba. Tenangkan diri dan kekalkan pedal minyak untuk seketika, sebelum melepaskan ia beransur-ansur. Pergerakan kenderaan akan segera perlahan dan berhenti dengan lebih cepat selepas tayar pecah. Jika anda dalam kawalan pelayaran (auto-cruise), pastikan anda memadamkan fungsi ini.

3) Saat kejadian kereta anda akan berasa ditarik ke arah tayar yang pecah. Cuba untuk memastikan arah kenderaan anda adalah lurus. Membelok stereng dengan banyak semasa kenderaan masih laju dan tayar pecah akan menyebabkan kenderaan hilang kawalan.

4) Hidupkan lampu kecemasan untuk memberi amaran kepada kenderaan sekeliling.

Program kawalan kestabilan Kenderaan (contohnya ESP) dalam sistem sesebuah kenderaan juga adalah penyelamat dalam keadaan tayar pecah. Pertimbangkan ciri-ciri ini apabila merancang untuk membeli kereta anda yang seterusnya demi lebih ciri keselamatan.

Semoga bermanfaat untuk dikongsi bersama.

Comments